Encounter Kendali Perasaan Marah
Penagih yang ingin berhenti dari penagihan, tetapi tidak berdaya berhenti kerana faktor persekitaran, mereka akan serah diri untuk dipulih, AADK akan hantar mereka ke sini selama setahun. Penagih yang ada disini adalah ingin berhenti secara sukarela. Ada yang datang sendiri dan ada yang di saran oleh ahli keluarga.
Namanya pusat serenti sukarela, mungkin anda terbayang ianya bebas dan longgar, oh tak begitu kawan, sungguhpun sukarela, ianya padat dengan program. Mereka bangun jam 5 .30 pagi dan tidur jam 11.00 malam. Salah satu program ialah Encounter. Pada hari tertentu bekas penagih ini akan duduk dalam satu bulatan besar. di atas kerusi sekitar 20 orang. Seorang pemimpin kelompok ini akan menjadi ketua atau fasi.
Tujuan
Program ini adalah program melepaskan geram, marah dan dendam antara sesama mereka. Sebelum hari tersebut, jika ada penghuni pusat serenti ini, (merekadipanggil ahli keluarga ) akan menulis nama orang yang dia nak marah pada satu buku tertentu. Orang lain tak boleh baca. Kemarahan ini tidak boleh dilepaskan ketika ia sedang marah, hanya hari ini sahaja mereka boleh marah dan meluahkan segala-galanya. Hebat tak penagih?
Caranya
Fasi akan mengatur ahli keluarga yang tersangatnya nak marah agar duduk setentang dengan ahli keluarga yang ingin dimarah dan sumpah seranah itu. Setelah semua bersedia, fasi akan menerangkan peraturan, tidak boleh kata-kata terlalu kesat, hanya mulut sahaja, tiada tindakan fizikal. Maka program pun dimulakan, ahli keluarga yang selama ini sarat dendam akan meluahkan perasaan mereka dengan suara yang kuat sambil menunjuk dengan jari orang yang dimaksudkan, engkau tu dah la bodoh, sombong, datang sini kau nak apa hah? Tak payah egolah, aku pun macam kau, penagih jugak, kau ingat kau baik sangat ke, bla bla, dengan urat semerih keluar di leher dan berpeluh-peluh. Kemarahan akan diluahkan sehabis-habisnya. Ketika ini, orang yang dimarah terpaksa berdiam tanpa sepatah kata pun. Ia hanya mendengar sahaja. Sedang rakan yang lain memerhatikan mereka berdua ini. Yang satu dikutuk dan satu mengutuk. Saya terfikir, kalau guru-guru dimarah macam ni depan orang ramai, hai....sanggup ke tidaknya?
Manfaatnya
Program ini bertujuan menukar sikap penagih dadah yang sebelum ini mereka ;
1. Tak pernah terima teguran dan nasihat orang lain, tak peduli pun cakap mak bapak, adik-beradik dan siapa pun yang berlawan dengan idealisme mereka. Hari ini mereka mendengar dengan teliti setiap teguran dan marah tersebut, serta memerhatikan dirinya, oh aku dah tersilap tak hormat dia, memang betul aku bersalah.
2. Bersabar menahan marah. Penagih biasanya akan melampiaskan kemarahan mereka tanpa berfikir panjang. Di sini, mereka terpaksa menahan marahnya, hingga hari yang dibolehkan. Akhirnya penagih berjaya mengawal emosi mereka.
3. Meluahkan perasaan, biasanya penagih tidak meluahkan perasaannya, mereka pendam dan pendam, yang mana akhirnya meletup. Di sini mereka di ajar bercakap kuat, katakan TIDAAAK!!, belajar bercakap yang SALAH itu tetap SALAH. yang mana selama ini mereka hanya terima saja ajakan kawan mereka walaupun itu tak baik.
4. Orang yang kena marah terpaksa menahan amarahnya, ia belajar sabar dan sabar, mendengar kemarahan orang yang sedang meluap-luap. Akhirnya ia akan mengaku salah dirinya dan jika ia memang tak bersalah ia akan bela diri dan menerima kata-kata orang lain walau tak betul hakikatnya, kerana itu adalah pandangan orang lain.Nak buat macam mana kan?
Begitulah seterusnya, habis sorang, sorang lagi, habis sorang, sorang lagi. Ops sebelum masuk kepada orang yang kedua, fasi akan bertanya kepada yang kena marah betul ke apa yang dikatakan tadi? Ya...kalau ya, dia kena mengaku salahnya walau dengan berat hati, ... akhir sekali fasi meminta orang yang kena marah agar berubah sikap.
Comments