UPSR : Antara Doa dan Debaran
Entah mengapa, debaran tahun ini cukup menggoncangkan, doa juga amat diresapi, air mata hampir berguyur, sembari doa buat anak-anak dibacakan,walau sesingkat cuma. Untuk catatan sejarah, SK Bangi telah merekod pencapaian yang terbaik pada tahun lepas, dengan pungutan 35 orang mencapai 5A...itupun kerana murid masih bergabung antara Bangi Lama dan Seputar Sri Putra.
2010, kami berpisah, hasrat untuk mencatat semula rekod gemilang amat mendebarkan. Mimpi dan impian sering bergulir. Antara perasaan yakin dan kurang sentiasa ada.
Ah..guru-guru sudah buat yang terbaik, semua guru SKB selama ini adalah yang cemerlang. Rekod 35 orang mendapat 5A pun gara-gara tangan dan suara mereka. Moga-moga doa ibubapa tak kurang hebatnya...untuk melihat anak-anak mereka berjaya, sekurang-kurangnya ke menara gading.
Hari ini, yang ada hanya doa, hari ini, yang boleh dibuat adalah doa, menyiram harapan yang sekian lama di tanam. Semoga benihnya tumbuh, pucuknya mengintai, daunnya kan berkembang dan akhirnya hasil yang dipanen. Zaman mereka kini tak sama zaman kita dulu, apatah zaman ibu ayah dan nenek kita yang sudah tiada, entah apa yang berputar dalam minda mereka, moga hidup ini akan membahgiakan mereka, dan sinaran mentari kan membawa cahaya hidayah, bahawa... hidup ini sementara cuma.... sementara cuma.
Comments