APAKAH MAKNA STATISTIK INI?

Seramai 12,352 penagih dadah dilaporkan pada tahun lepas, berbanding 22,811 pada tahun 2006. Ini termasuklah penagih baru dan berulang. Kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Chor Chee Heung, ini menunjukkan tren penurunan sebanyak 50 peratus.

Biar saya ucapkan tahniah kepada Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain agensi kerajaan atas "pencapaian" ini. Semoga usaha Malaysia untuk mencapai sasaran penagih dadah sifar menjelang 2015 berjaya.

Opps, nanti dulu!

Mari kita lihat semula statistik ini.

Statistik hanyalah angka. Angka yang diberikan dalam sebarang kajian dipungut dengan menggunakan metodologi tertentu.

Dalam kes ini, angka penagih dadah yang dikeluarkan oleh AADK diambil dari bilangan tangkapan yang dilakukan oleh agensi-agensi penguatkuasa seperti polis. Kalau maklumat saya salah, sila betulkan.

Kalau banyak tangkapan, tinggilah angka itu. Kalau kurang tangkapan, angka itu menjadi rendah.

Ada sebab-sebab mengapakah jumlah tangkapan menjadi tinggi atau rendah.

Sebagai contoh, agensi penguatkuasa mungkin sibuk dengan kes-kes atau tugasan lain dan ini mengurangkan tumpuan mereka kepada kes penagihan dadah. Maka, statistik tangkapan menjadi rendah.

Adakah itu bermakna jumlah penagih dadah berkurangan? Saya tidak fikir begitu. Angka tangkapan yang tinggi atau rendah tidak bermaksud penagih dadah bertambah atau berkurangan.

Mari kita ambil contoh kes-kes aduan pelanggan dalam sesebuah organisasi. Ada kakitangan pengurusan yang seronok apabila dapat mengurangkan jumlah aduan pelanggan. Mereka bersorak dan mengatakan ini bermaksud bilangan pelanggan yang berpuas hati meningkat. Buktinya, bilangan aduan menurun. Huh?

Biar saya katakan bahawa bukan susah nak turunkan bilangan aduan pelanggan. Tutup saluran aduan. Kalau dulu boleh mengadu melalui sms, email, bersemuka dan surat, sekarang buat peraturan bahawa aduan pelanggan hanya boleh dibuat melalui surat atau secara bersemuka. Pasti, bilangan aduan yang diterima akan turun secara mendadak.

Satu lagi kaedah ialah mengklasifikasikan aduan. Proses pengklasifikasian aduan juga akan mengurangkan jumlah aduan yang diterima secara drastik. Adakah ini bermaksud tahap kepuasan pelanggan meningkat. Oh, tidak. Sesekali tidak!

Oleh itu, sebelum kita bersorak mengenai "pencapaian" mengurangkan jumlah penagih dadah sebanyak 50 peratus dalam tempoh dua tahun, elok kita semak semula metodologi yang digunakan bagi mengutip angka tersebut.

Atau, untuk lebih objektif elok kita katakan bahawa "bilangan penagih dadah yang ditangkap berkurangan" sebanyak 50 peratus dalam tempoh dua tahun.

Ini tentunya berbeza dengan "bilangan penagih dadah berkurangan" sebanyak 50 peratus dalam tempoh dua tahun.

Oh ya, dalam Buletin Laporan AADK disebutkan "bilangan penagih dadah yang dikesan". Istilah "yang dikesan" bermaksud "yang ditangkap". Itu istilah yang betul. Apa yang tak betul ialah apabila Timbalan Menteri dan media menyebut berlaku tren penurunan bilangan penagih sebanyak 50 peratus dalam tempoh dua tahun.

Saya bangkitkan persoalan ini kerana tak mahu kita berasa selesa dan menganggap isu penagih dadah dah selesai. Saya tak mahu kita dibuai mimpi dan mengatakan jumlah mereka berkurangan secara drastik.

Sahabat saya, Husin Lempoyang tentu akan kata "Wow!" Kalau boleh turunkan sebanyak itu dalam tempoh dua tahun, kita tak perlu tunggu tahun 2015 untuk capai sasaran penagih dadah sifar. Tahun depan pun penagih dadah dah tak ada lagi.

http://nobisha.blogspot.com/2009/02/apakah-makna-statistik-ini.html

Comments

Popular posts from this blog

SK Dusun Tua, Sekolah Tertua Daerah Hulu Langat

Dulu Dusun Kini Taman

SMK Kajang Utama