Merdeka, Pergi dan Impian

Assalamualaikum dan salam sejahtera murid-murid sekalian, kita baru sahaja selesai menyambut bulan kemerdekaan (Ogos) bagi negara kita yang tercinta. Kasih dan sayang sehingga berkorban kepada negara tanah tumpah darah kita adalah salah satu dari tuntutan agama Islam. Hubbul Watani Minal Iman. “Cintakan tanah air sebahagian dari (tanda) keimanan”.

Manakala murid tahun 6 pun sudah merasa merdeka juga.Merdeka sebab sudah selesai menjalani ujian besar di sekolah rendah.

Selama 6 tahun kamu bersekolah, akhirnya semua ilmu yang cikgu curah dan ajarkan, disoal dalam peperiksaan hanya dalam tempoh 1 jam.

Bayangkan, betapa mahal ilmu kamu, selama 6 tahun belajar. Dapat satu sijil namanya UPSR. Orang belajar di Universiti untuk dapatkan ijazah pun hanya 4 tahun sahaja.

Kita patut berterima kasih pada guru-guru yang pernah mengajar kita, dari kita tidak tahu ABC, 123, Alif Ba’ Ta, Tolak Campur Bahagi Darab, hinggalah kita tahu semuanya. Adakalanya kita lebih tahu sesuatu perkara lebih dari guru kita. Betul tak?

Namun jangan lupa pada jasa guru, agama Islam sendiri mengajar kita supaya menyelitkan guru kita dalam ungkapan doa. Sebagaimana yang sering dibaca.

Ya Allah ampunilah dosa kedua ibubapa kami, dosa guru-guru kami dan dosa seluruh muslimin-muslimat, mukminin mukminat.

Betapa tingginya kedudukan guru, tarafnya adalah selepas ibubapa. Setelah kita minta ampun untuk ibubapa, kita iringan dengan guru-guru. Betul tak? Makanya jangan lupa pada guru kita, nama mereka dan jangan lupa mendoakan kesejahteraan buat mereka sepanjang hayat kita.

Siapalah kita tanpa guru, secerdik mana manusia, pasti ada gurunya. Biarpun guru kita lebih miskin dari kita, namun nilai perhormatan kita jangan berkurang sampai bila-bila pun. Nama guru pun tak kan hilang “cikgu”nya, walaupun dia telah pencen atau menjadi arwah. Faham kan?

Nabi Muhammad sendiri diajar oleh Malaikat Jibrail.Itulah gurunya.

Selamat Jalan Murid Tahun 6

Datang dan pergi, itulah adat dalam hidup. Selama 88 tahun Sekolah Kebangsaan Bangi berbakti pada nusa dan bangsa, sudah lebih 8000 orang bersekolah di sini termasuk kamu. Tidak pula cikgu ada rekod berapa ramai sudah guru atau bekas murid yang meninggal dunia.

Cikgu doakan kamu semua dapat menempuh perjalanan hidup baru didunia sekolah menengah.

Belajar wahai anak-anak, sampai ke universiti.Tabah dan sabar menghadapi kesusahan. Jangan ikut bergaul atau meniru perangai kawan-kawan yang tidak sejalan dengan agama. Hidup ini hanya sementara, kelak mati jua yang menunggu kita.

Tujuan selepas UPSR

Ke mana arus kamu ingin tuju selepas UPSR? Mungkin sudah ada yang tahu dan mungkin ramai yang masih keliru.

Terserah kamu ke mana hendak tuju, yang penting belajar dan tidak melakukan kesalahan dari segi syariat. Itu kuncinya. Kalau belajar di sekolah sukan sekalipun, tetapi tidak mendatangkan dosa, silakan. Itu yang perlu dijaga.

Berkat dalam belajar.

Dato Dr.Fadhilah Kamsah berpesan, jika ingin keberkatan dalam belajar, amalkan 4 perkara ini.

Yang pertama ucapkan terima kasih pada guru.Tanpa guru sehebat apa pun manusia, kepandaiannya mesti bermula dari seorang manusia bergelar guru. Jangan berat untuk berterima kasih.

Yang kedua jumpa cikgu, minta maaf dengan cikgu. Kamu dah hendak pergi ke sekolah menengah. Belum tentu kamu dapat berjumpa lagi dengan guru kamu ini.

Sebagai pelajar kita banyak buat silap, maklum sebagai manusia yang sering alpa dan lalai, apalagi sebagai kanak-kanak. Jangan malu untuk meminta maaf, bila kita sanggup minta maaf, itu tanda hati kita kuat, kita ada potensi untuk jadi manusia hebat. Mahu tak? Kalau mahu, silakan belajar meminta maaf.

Yang ketiga minta cikgu halalkan segala ilmu. Mudah-mudahan ilmu itu berkat dan bertambah-tambah keberkatannya. Semakin berusia semakin bagus hidup kita nanti.

Manakala yang keempat, minta cikgu doakan kita agar menjadi manusia yang “Berjaya dan Cemerlang” dunia sampai akhirat.

Pada seorang guru ada keberkatannya, walaupun nampak lemah-longlai langkahnya. Doanya boleh jadi sampai ke langit, kata-katanya boleh jadi menjadi nyata. Awasi kemarahan guru.Jangan sampai kita kena marah dek kenakalan kita. Takut tidak berkat. Pernah seorang murid yang nakal lagi sombong dengan gurunya, belajar sambil kaki diletakkan dalam laci meja, ketika menginjak usia dewasa, dia berada di penjara. Kenapa? Fikir-fikirkan.

Sekian Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

SK Dusun Tua, Sekolah Tertua Daerah Hulu Langat

Dulu Dusun Kini Taman

SMK Kajang Utama